Wednesday, September 16, 2009

Tuesday, September 1, 2009

dari hati kusimpan ke hati

...Kini dari hati hanya kusimpan ke hati ….. tidak terturun ke jari...selamat tinggal semua........
biarlah aku menyepi seketika mencari sisa -sisa waktu yang mungkin boleh aku kumpulkan semula untuk membina sebuah cerita dipentas kehidupan ini......jari jemari tidak serancak dulu untuk menzahirkan kegembiraan dan kedukaan apa yang dirasa dan dilalui........... biarlah cerita ini aku noktahkan disini...... tiada apa lagi yang hendak diceritakan.......................... bersambung

Thursday, June 25, 2009


PRINSIP MEMBINA PERSAHABATAN YANG BAIK.
Menjadi seorang sahabat bukanlah sesuatu yang datang secara tiba-tiba. Ia merupakan suatu kemahiran yang boleh dipelajari dan diperbaiki. Berikut adalah lapan cara bagaimana menjadi seorang sahabat yang baik.

Pertama: Sayangkan Diri Sendiri
Langkah pertama dalam menjalinkan persahabatan ialah dengan mempunyai perhubungan yang baik dengan diri anda sendiri. Apabila kita benar-benar sukakan diri kita sendiri, kita kelihatan lebih menarik di mata orang lain. Kita juga mempunyai lebih banyak perkara yang boleh ditawarkan kepada orang lain kerana kita tidak hanya menumpukan kepada imej dan reputasi diri sendiri.
Kita menjadi sahabat yang baik kerana kita tidak bergantung kepada orang lain. Kita mempunyai keyakinan yang cukup untuk meluangkan masa bersama kawan-kawan kerana kita mahu berbuat demikian, bukannya kerana kita perlu melakukannya.
Relaks – perjalanan kita dalam memahami diri sendiri masih panjang. Praktikkannya sedikit demi sedikit dalam kehidupan seharian kita.


Kedua: Pilih Dengan Bijak
Perhubungan di antara teman-teman karib memerlukan anda meluangkan banyak masa dan tenaga, iaitu dua sumber yang terhad bagi kebanyakan kita. Kenalpasti rakan-rakan yang mana anda mahu menjalinkan perhubungan yang intim. Tidak mengapa jika tidak semua rakan termasuk dalam senarai sahabat karib. Keakraban persahabatan adalah lebih penting daripada jumlah sahabat yang ada.

Ketiga: Luangkan Masa
Sahabat adalah penting dalam banyak perkara, hinggakan kadang-kala hubungan persahabatan itu seakan-akan mempunyai nyawanya sendiri. Anda bertanggungjawab terhadap diri anda (dan juga terhadap rakan-rakan anda) untuk menghidupkan perhubungan ini. Carilah masa yang berkualiti untuk diluangkan bersama.

Keempat: Ambil Langkah Pertama
Inilah masalah saya, dan saya tahu bukan saya seorang menghadapi masalah ini. Jika anda mahu memperbaiki perhubungan anda, ketepikan perasaan bimbang dan takut pada penolakan dan mula mengambil risiko. Jemput rakan-rakan anda makan tengahari. Anjurkan satu permainan secara berkumpulan. Jemput mereka makan malam di rumah anda.
Seringkali, kita gagal membuat susulan dengan kawan-kawan. Jangan biarkan diri anda ketinggalan – telefon mereka. Rakan-rakan anda tentu gembira berjumpa dengan anda.

Kelima: Peraturan Penting
Perlakukan sahabat-sahabat anda sebagaimana anda mahu diperlakukan. Dengan kata lain: “Untuk mempunyai sahabat, jadilah seorang sahabat.”
Beri lebih tumpuan kepada apa yang menarik, bukannya menjadi menarik. Jadilah seorang yang bersemangat dan bertenaga. Jauhkan dari mengadu-domba, mengumpat dan mengkritik.

Keenam: Ambil Perhatian Terhadap Perkara-Perkara Kecil
Buat rakan-rakan anda rasa diri mereka penting dengan mengingati perkara-perkara kecil. Tegurlah potongan rambut barunya. Tanya mengenai pembedahan ibu mertuanya. Hantar jambangan bunga atau e-mel ringkas apabila dia memerlukannya. Dan komen lah sikit-siki dalam blognyer.......

Ketujuh: Dengar
Pendengar yang baik sukar dicari; oleh itu perbaikilah kemahiran mendengar anda. Berikut adalah beberapa panduan:
Sabar. Jangan cuba menghabiskan ayat rakan anda. Jika anda dapati anda sedang memikirkan suatu respon semasa rakan anda sedang bercakap, beri peringatan kepada diri anda supaya menumpukan perhatian kepada rakan yang sedang bercakap.
Tunjukkan kepadanya bahawa anda sedang mendengar. Pandang matanya semasa dia bercakap. Anggukkan kepala dan beri respon kecil untuk menandakan bahawa anda faham apa yang dia maksudkan.
Kurangkan gangguan.
Tanya soalan.
Berhati-hati memberi nasihat. Andaikan bahawa rakan anda hanya mahu meluahkan perasaannya, dan bukan meminta pendapat anda. Elakkan berkata, “apa yang perlu awak buat…” Beri pendapat hanya jika diminta (dan hanya jika anda percaya pendapat anda dapat membantunya).

Kelapan: Setia
Setiap orang dari kita memerlukan seseorang uantuk berada di pihak kita. Jika seseorang mengumpat atau mengkritik rakan anda di belakangnya, pertahankan dia. Dia tentu akan membuat perkara yang sama jika ia berlaku kepada anda.


Matrik @ diploma


Matrikulasi atau program asasi atau Diploma??????
Ramai pelajar yang bertanyakan cikgu manakah di antara ketiga-tiga program lepasan SPM ini, mana yang lebih baik. Sebelum ini sesiapa yang dapat UPU tidak akan dapat matriks, tetapi kali ini, setiap pelajar boleh mendapat kedua-duanya sekali serentak dan terpulang untuk membuat pilihan . Cuma masalahnya tidak tahu pilihan mana yang terbaik. Semoga dengan penerangan ini serba sedikit dapat memberikan maklumat awal dan gambaran kepada pelajar-pelajar khusunya F5 2009 untuk membuat keputusan dari sekarang.
Matrikulasi dan program asasi adalah program khas yang dirangka untuk membolehkan pelajar cemerlang melangkau program diploma. Matrikulasi keutamaan adalah program satu tahun (PST) walaupun ada juga program dua tahun (PDT). Matrikulasi yang popular sekarang ialah matrikulasi KPM. Namun begitu program asasi seperti program asasi sains atau program asasi undang-undang atau program asasi perakaunan juga memberi peluang lepasan SPM melangkau ke peringkat ijazah dalam tempoh singkat iaitu 1 tahun (2 semester) Kedua-dua peluang pembelajaran ini, matrikulasi dan program asasi dikenali sebagai program laluan pantas (fast track). Bayangkan dalam usia 19 tahun pelajar dari kedua-dua program ini, jika cemerlang, layak memasuki program ijazah aliran sains (3 tahun kecuali perubatan 4-5 tahun) atau perundangan (3 tahun) atau perakaunan (4 tahun) dan selepas tamat belajar, bakal memasuki dunia pekerjaan di usia muda, 21-22 tahun.
Diploma pula terbuka kepada semua lepasan SPM dan semua aliran dan jenis persekolahan. Walau bagaimanapun, ia menawarkan tempoh pembelajaran yang panjang iaitu 3 tahun. Hanya selepas tamat atau bergraduat dari diploma, barulah pelajar lepasan diploma boleh mengikuti program ijazah dalam bidang yang mereka minati, sama ada aliran sains/teknikal atau aliran sastera. Ada banyak peluang belajar disediakan dalam kategori diploma oleh itu pelajar boleh merancang kerjaya mereka dari awal lagi. Sebagai contoh, pelajar diploma perakaunan selepas tamat pegajian boleh membuat keputusan sama ada terus sambung belajar atau terus bekerja. Sebaliknya pelajar matrikulasi dan program asasi tidak boleh berhenti belajar kerana dari segi pengiktirafan, sijil matrikulasi dan program asasi itu hanya sah kegunaannya untuk kemasukan ke IPT. Jika mereka memilih untuk bekerja sementara waktu atau bagi tempoh yang lama, pelajar-pelajar lepasan matrikulasi dan program asasi sebenarnya hanya memiliki kelayakan SPM. Begitulah bezanya dari segi taraf dan peluang pekerjaan.
Tetapi perlu diingat di sini, pelajar-pelajar yang memohon matrikulasi dan program asasi sememangnya diandaikan akan terus belajar ke peringkat ijazah, dan kerana itulah pihak KPM dan IPTA yang menawarkan program-program laluan pantas ini hanya memilih pelajar cemerlang. Ini kerana dipercayai pelajar sedia cemerlang dalam SPM akan mampu menangani kehidupan dan proses pembelajaran yang ketat dan pelbagai bagi tempoh singkat 2 semester. Juga diyakini individu sebegini sebenarnya mempunyai kesungguhan dan cita-cita diri yang jelas. Tanpa faktor ini, maka ada segolongan kecil pelajar lepasan SPM yang menyesal mengikuti program matrikulasi maupun program asasi kerana didapati lebih ‘demanding’ dan agak sukar menerima perubahan yang mesti dilakukan pelajar. Program diploma pula, walaupun turut dipohon oleh pelajar cemerlang dan pelajar sederhana, proses pembelajarannya telah direncanakan dan dipanjangkan bagi tempoh 3 tahun. Maka pelajar-pelajar diploma ada sedikit ruang ‘bernafas’ dan peluang membetulkan keadaan jika mengalami kegagalan atau kejatuhan prestasi.
Tetapi pelajar harus sedar bahawa matrikulasi, program asasi dan diploma sememangnya dirancang berdasarkan dasar dan falsafah yang berbeza. Jika anda memilih matrikulasi atau program asasi ketahuilah bahawa jerih payah anda dibalas dengan kepantasan memasuki bidang ijazah dan dunia pekerjaan manakala program diploma, walaupun tidak ‘menyesakkan nafas’ pelajar, pelajar lebih banyak masa untuk “enjoy” tetapi dari segi persaingan, akan terlewat masuk ke peringkat ijazah dan seterusnya lambat memasuki bidang pekerjaan sebagai lepasan ijazah.
Contohnya anggaplah ada 2 orang pelajar, pelajar A dan Pelajar B merupakan lepasan SPM 2009 kini mencari peluang belajar di IPTA. Pelajar A ditawarkan matrikulasi di Kolej Martrikulasi Labuan, pelajar B ditawarkan diploma perakaunan di UiTM Shah Alam. Kedua-duanya adalah pelajar cemerlang dan kedua-duanya berpakat bakal mengikuti program ijazah perakaunan di UUM.
Di usia 18 tahun ini, kedua-duanya memulakan pengembaraan masing-masing tahun 2008 ini.
Pertengahan tahun 2008 – Pelajar A mula belajar di matrikulasi PST manakala Pelajar B mula belajar di peringkat diploma perakaunan di UiTM.
Pertengahan tahun 2009 – Pelajar A tamatkan pengajian matrikulasi dengan CGPA 3.80 dan Julai 2009 mula mengikuti program ijazah perakaunan di UUM di tahun pertama. Pelajar B pula memasuki tahun kedua pengajian diploma.
Pertengahan tahun 2010 – Pelajar A sedang belajar di tahun kedua ijazah perakaunan di UUM. Pelajar B memulakan pembelajaran di tahun ketiga program diploma beliau.
Pertengahan tahun 2011 – Pelajar A sedang belajar di tahun ketiga ijazah perakaunan di UUM. Pelajar B dah tamat diploma dengan CGPA 3.80 juga dan mulai Julai 2011 mulakan pengajian beliau di tahun pertama ijazah perakaunan di UUM. Pelajar A sekarang ini senior 3 tahun berbanding rakannya Pelajar B yang baru menjadi pelajar junior.
Pertengahan tahun 2012 – Pelajar A memulakan pembelajaran di tahun keempat dan terakhir program ijazah perakaunan di UUM. Rakannya pelajar B pula baru memasuk tahun kedua pengajian ijazah perakaunan di UUM juga.
Pertengahan tahun 2013 – Pelajar A telah tamat pengajian dengan CGPA 4.00, menunggu konvokesyen dalam bulan Ogos dan sejak Julai dah bekerja di Ernst & Young sebagai pembantu juruaudit. Pelajar B sedang melanjutkan pelajaran di tahun ketiga ijazah perakaunan di UUM.
Pertengahan tahun 2014 – Pelajar A masih berkerja di Ernst & Young dan kecekapannya menyebabkan beliau telah dinaikkan jawatan dan tangga gaji yang lebih lumayan. Pelajar B mula belaja di tahun keempat, tahun terakhir ijazah perakaunan di UUM.
Pertengahan tahun 2015 – Pelajar A masih bekerja di E&Y dan memasuki tahun ketiga bertugas untuk melengkapkan syarat menjadi akauntan bertauliah*. Pelajar B tamat pengajian degan CGPA 4.00 dan sedang menunggu konvokesyen di bulan Ogos 2015. Mula bekerja di Price Waterhouse sejak Julai 2014 dan bakal mencipta kerjaya sebagai akauntan bertauliah juga.
* Syarat untuk mejadi akauntan bertauliah ialah pengalaman 3 tahun bekerja minimum dalam bidang perakaunan yang diiktiraf. Juruaudit adalah salah satu darinya.
Dan begitulah seterusnya. Dengan andaian persaingan yang sihat, dan tiada masalah yang menghalang kedua-dua mereka menangguhkan pembelajaran dan mencari pekerjaan. Cikgu berharap, dari penerangan dan contoh yang cikgu berikan dapat memberi sedikit gambaran kepada pelajar SDAR untuk membuat keputusan mana satukah laluan yang lebih sesuai kepada dirinya. Setiap keputusan itu bakal mempengaruhi peluang dan kejayaan anda di masa hadapan.
Tambahan : Jika pelajar B sambung belajar ke peringkat ijazah di UiTM, sebagai pemegang diploma UiTM, beliau layak mendapat pengecualian jam kredit, dan tempoh masa belajar boleh disingkatkan kepada 3 tahun (6 sem) atau 3 1/2 tahun (7 sem), tertakluk kepada syarat UiTM. Sebaliknya jika sambung belajar ke IPTA lain, pelajar B terpaksa mengharungi pembelajaran genap 8 sem (4 tahun).
Jika pelajar sanggup menghadapi program SATU TAHUN matrikulasi, dengan matlamat jelas nak cepat dapat belajar ke ijazah maka pilih matrikulasi. INGAT! matrikulasi sememangnya bakal menguji kemampuan anda. Ada segolongan individu takut ke matrikulasi kerana takut gagal. Well, memanglah ada peluang gagal jika gagal merancang kejayaan sendiri. Matrikulasi adalah program khas, program terpantas masuk ke peringkat ijazah. Dalam usia 19 tahun awak dah menjejak kaki dlm tahun pertama ijazah, berbanding program diploma yang memakan masa 3 tahun. Ketika usia 21 tahun barulah menjadi pelajar ijazah di tahun pertama. Nampak tak bezanya. Matrikulasi mencabar tetapi berbaloi kerana dgn itu awak berpeluang (dgn syarat berjaya dengan cemerlang di matrikulasi dan ijazah) memotong pelajar lepasan diploma yang baru belajar ke ijazah dengan memasuki dunia pekerjaan lebih cepat. Di usia 22 tahun awak dah boleh mencari pekerjaan bersandarkan ijazah awak. Takkah berbaloi ke matrikulasi. Tetapi pastikan awak mengubah kaedah belajar dan strategi belajar, matrikulasi bukannya SPM lagi. Walaubagaimanapun ukur baju dibadan sendiri, tepuk dada jangan tanya selera, sebab nanti asyik nak makan saja, maka tepuk dada tanyalah iman. Kamu semuanya berasal dari pelajar yang bijak, genius dan pandai, sejarah telah membuktikan 5A dan 8A, tetapi cuma MALAS dan terasa diri bagus maka terus hanyut kebelakang.

Moga lahir di bumi SDAR ini


Al-Khazin kuasai matematik dan astronomi ABU Jafar Muhammad ibn al-Hasan Khazin lahir pada tahun 900 Masehi di Khurasan yang terletak di timur Iran. Lebih dikenali sebagai al-Khazin dan merupakan ahli astronomi dan matematik terkenal pada zamannya.

Ibn Al-Baitar pakar botani unggul kurun ke-16 ABU Muhammad Abdallah Ibn Ahmad Ibn al-Baitar Dhiya al-Din al-Malaqi adalah salah seorang saintis terulung Muslim Sepanyol. Beliau merupakan seorang ahli botani dan farmasi yang terkenal pada kurun pertengahan.

Al-Haitham Bapa Optik Moden» ABU Ali Hasan Al Haitham yang dikenali sebagai Alhazen di barat, merupakan Bapa Optik Moden. Beliau merupakan pakar fizik yang terunggul melalui sumbangan terhadap kaedah optik dan saintifik. Abu Ali Hasan dilahirkan pada 965 Masihi di Basrah dan mendapat pendidikan di Basrah dan Baghdad.

Al-Zahrawi - Pakar pelbagai bidang perubatan » ABU AL-Qasim Al-Zahrawi yang hidup antara tahun 936 hingga 1013 Masehi adalah seorang lagi saintis Islam terhebat yang banyak meletakkan asas dalam bidang perubatan.

Al-Farghani - Astronomi dan kontroversi terusan» ABU’L-Abbas Ahmad ibn Muhammad ibn Kathir al-Farghani lahir di Farghana, Transoxiana. Beliau merupakan salah seorang ahli astronomi yang terkenal ketika berkhidmat sepanjang era al-Mamun.

Al-Khindi pakar pelbagai bidang sains » SEORANG lagi saintis Islam yang tersohor ialah Abu Yousuf Yaqub Ibn. Ishak al-Khindi.Al-Khindi dilahirkan di Kufa sekitar tahun 800 Masehi. Beliau sebenarnya seorang yang mempunyai kepakaran dalam banyak bidang meliputi falsafah, matematik, perubatan, astronomi, fizik, ahli geografi dan juga muzik.

Omar Khayyam: Pakar algebra, ahli astronomi dan penyair SEORANG lagi ilmuan Islam yang terkenal ialah Omar Khayyam. Kepakaran Omar Khayyam, seorang rakyat Parsi, adalah dalam bidang matematik, astronomi, falsafah, perubatan dan puisi. Nama sebenarnya ialah Ghiyath al-Din Abul Fateh Omar Ibn Ibrahim al-Khayyam dan dilahirkan pada tahun 1044. Khayyam sebenarnya bermaksud pembuat khemah.

Al Khawarizmi ahli matematik teragung» ABU Abdullah Mohammad Ibn Musa al-Khawarizmi adalah Bapa Algebra. Tarikh lahir dan kematiannya yang tepat tidak diketahui tetapi beliau dikatakan hidup di antara tahun 790 sehingga 840 Masihi. Ada juga yang menyatakan beliau lahir pada tahun 780 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 850 Masihi.

KOCEK TEBAL ADA LEBIHNYA


Bersedekah adalah amaln sunat yang dianjurkan dan digalakkan kepada umat Islam, tidak kira status atau taraf hidup mereka. Malah amalan mulia ini bukan hanya kepada orang-orang kaya, tetapi mereka yang berpendapatan rendah juga disarankan melakukannya, menurut kadar kemampuan masing-masing.Malah apabila kita menyebut sedekah ini, hukumnya sunat, berbeza dengan nazar dan zakat. Pun begitu, apabila kita menyentuh tentang bentuk-bentuk sedekah, segolongan orang miskin di kalangan sahabat telah mendatangi Baginda lalu bertanya: "Ya Rasulullah orang kaya telah menguasai segala pahala kebaikan, mereka sembahyang, puasa seperti yang kami lakukan. Malah mereka mampu pula bersedekah dengan kelebihan harta mereka sedangkan kami tidak boleh?'' Jawab Baginda: Tidakkah Allah telah membuatkan untuk kamu semua itu sesuatu yang kamu boleh sedekahkan. (Riwayat Muslim)Di dalam hadis ini, Nabi hendak menceritakan tentang bentuk-bentuk sedekah yang disebut di dalam hadis ini, iaitu Sesungguhnya bertasbih itu merupakan sedekah dan setiap takbir juga merupakan sedekah, tahmid dan tahlil juga adalah bentuk sedekah. Selain itu, setiap perkara atau perintah untuk membuat makruf, melarang orang membuat mungkar, itu juga adalah sedekah.
Apa yang Rasulullah ingin tegaskan di sini, hanya sebagai satu berita gembira kepada orang yang tidak berkemampuan melakukan sedekah kebendaan. Terutama seperti aku yang berstatus “cikgu” jika hendak dibandingkan dengan kawan-kawan dilain sektor yang mana gaji berlipat kali ganda.
Pun begitu, makna sedekah yang sebenar-benarnya mengikut takrif ajaran Islam, ialah dalam bentuk harta, duit, aset dan sebagainya.Mengapakah sedekah ini perlu dalam bentuk harta? Ini kerana kalau sebut sahaja harta, duit, barangan atau aset, pastinya ia adalah sesuatu yang amat berharga dan amat disayangi. Berbeza kalau kita kita bersedekah dengan tenaga. Ia diumpamakan seperti tidak ada sebarang makna atau nilai.
Selain itu, perkataan sedekah jika bersandarkan kepada al-Quran dan hadis, sebenarnya ia dalam bentuk harta. Ini ditekankan lagi, apabila Nabi s.a.w. membuat contoh, bersedekahlah kamu walaupun dengan separuh daripada tamar. Nabi menggunakan benda, ini menjelaskan bahawa sedekah dalam konsep Islam ialah harta benda tanpa menafikan sedekah dalam bentuk-bentuk lain.
Hakikatnya, tawaran syurga yang Allah berikan kepada kita itu, terdapat banyak pintu, di antaranya Babus Sadakah iaitu Pintu Sedekah. Jadi mudah-mudahan, jika sedekah ini kita dapat jadikan sebagai satu budaya di dalam kehidupan, insya-Allah kita akan berpeluang masuk melalui pintu ini. Hal ini diperkukuhkan dengan hadis sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: Sesiapa yang membelanjakan sepasang kuda, unta atau sebagainya untuk digunakan dalam perjuangan di jalan Allah, maka namanya diseru dari dalam Syurga:
''Wahai hamba Allah! Pintu ini adalah lebih baik. Sesiapa yang tergolong dari kalangan ahli sembahyang (orang yang sempurna sembahyangnya) maka dia diseru dari Bab Solat (pintu sembahyang). Sesiapa yang tergolong dari kalangan ahli Jihad (orang yang berjuang di jalan Allah), maka dia diseru dari Bab Jihad (pintu jihad). Sesiapa yang tergolong dari kalangan ahli Sadaqah (orang yang suka bersedekah), maka dia diseru dari Bab Sadaqah (pintu sedekah) dan sesiapa yang tergolong dari golongan orang yang suka berpuasa, maka dia akan diseru dari Bab Ar-Rayyan (pintu Ar-Rayyan).'' Abu Bakar As-Siddiq bertanya: ''Wahai Rasulullah! Adakah setiap orang semestinya akan diseru dari pintu-pintu tersebut. Adakah tidak mungkin seseorang itu diseru dari kesemua pintu? Rasulullah s.a.w. bersabda: Benar! Aku berharap bahawa engkau termasuk di antara orang yang namanya diseru dari semua pintu. (Riwayat Muslim)
Apa yang ingin aku sampaikan disini, kepada para pelajar, belajarlah bersungguh-sungguh, tak salah kita terlalu merendah diri, tapi dalam masa yang sama jangan kita menafikan kepentingan harta dalam kehidupan kita, berpuas hatikah kita dengan kocek nipis tanpa dapat menyumbang apa-apa kepada agama,bangsa dan negara??? Orang kaya boleh bertasbih, orang yang sederhana seperti cikgu juga boleh bertasbih, orang kaya boleh solat orang sederhana seperti cikgu juga boleh solat, tetapi tatkala orang kaya menyedekahkan hartanya ke jalan Allah seperti menginfa'kan tanah untuk membuat masjid, membayar bil-bil air di masjid, memberi bantuan setiap bulan kepada anak-anak yatim, membina madrasah, membina sekolah-sekolah agama. Apa yang orang sederhana seperti cikgu buat..........tatkala orang kaya melihat anak yatim dan anak yang susah berpakaian lusuh terus boleh mengantikan mereka dengan pakaian yang baru, tapi orang sederhana seperti cikgu hanya boleh membantu sekadar menenangkan mereka dengan kata-kata sabar dan terus bersabar..... tatkala ada bantuan memerlukann contoh hari terbuka asrama, sambutan hari guru, nak pergi lawatan sana sini, apa orang yang sederhana berkocek nipis seperti cikgu boleh buat, sekadar menolong membuat kertas kerja sahaja, tapi kalau orang berkocek tebal sudah tentu boleh menghulurkan bantuan tatkala ada orang memerlukan.
Aku tak kesal menjadi seorang guru, bahkan berbangga hanya Allah sahaja yang tahu, tetapi sekiranya kalian semua diberi peluang dan diberi Allah sedikit kelebihan dengan akal yang cergas dan pintar untuk menjadi orang yang lebih baik dari cikgu, boleh mempunyai pangkat berjawatan tinggi dan bergaji besar, jadilah........usahlah kita menolak tuah, takut kita dikatakan tidak tahu mensyukuri nikmat kepandaian dan kecerdasan yang diberikan. Ingat tidak semua orang Allah kurniakan dengan kepandaian dan kecerdasan seperti kita untuk mendapat 10A, tidak semua orang, Allah pilih kita, kerana Dia tahu kita adalah layak....... dan bakal mengimarahkan bumi ini kelak.

Jangan salah kocek tebal


Ada orang kata tak nak jadi kaya, sebab ada terdengar hadis sebegini “Kebanyakan Penghuni Syurga Dan Penghuni Neraka "Aku telah meninjau syurga dan aku dapati kebanyakan penghuninya ialah kaum miskin, dan aku juga meninjau neraka dan aku dapati kebanyakannya penghuninya ialah kaum wanita ." Diriwayatkan oleh al-Bukhari.
Jika hadis ini ditilik dari permukaannya yang lahir sahaja tentulah timbul kemusykilan- kemusykilan tertentu apakah Islam memandang kemiskinan itu sebagai satu kelebihan dan kekayaan sebagai satu penghalang yang boleh menjauhkan seseorang itu dari syurga ? Apakah istilah memandang rendah kepada kaum wanita hingga kebanyakkan mereka menjadi penghuni neraka ? Apakah kaum wanita lebih banyak melakukan maksiat dari kaum lelaki ?
Untuk memahami maksud yang sebenar dari hadis ini perlulah dirujukkan kepada nas-nas lain yang bersangkutan dengan pandangan umum Islam terhadap kekayaan dan kemiskinan, juga pandangan umum Islam terhadap kaum lelaki dan kaum wanita. Menurut Islam merupakan nikmat dan rahmat yang dikurniai Allah kepada manusia, kerana itulah memohon " rezeki yang luas " merupakan isi utama doa-doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya termasuk doa " " yang dibaca berkali-kali setiap rakaat sembahyang, tetapi kekayaan itu sendiri bukanlah merupakan satu kelebihan kecuali ia dibelanjakan kepada jalan Allah, sedangkan kemiskinan ataupun kocek nipis juga bukan kelebihan tetapi merupakan cabaran dan ujian terhadap ketabahan dan kesabaran seseorang mukmin, kerana itu kemiskinan itu sendiri bukan sekali-kali merupakan kelebihan yang secara automatis melayakan seseorang mukmin untuk menduduki syurga, malah pastilah digandingkan dengan sikap sabar, takwa dan amalan-amalan yang soleh.
Orang ada mengatakan biarlah kocek kosong asalkan amalan kita ikhlas didepan Allah kerana itu lebih mulia dan baik. Bagaimana pula dalam pentas yang sama kita membandingkan orang yang “berada” tetapi amalan juga ikhlas dan sabar. Manakah yang lebih baik.????????
Bertolak dari pengertian ini ternyata bahawa yang dimaksudkan dengan "orang-orang yang miskin "yang disebut oleh Rasulullah s.a.w itu ialah orang-orang miskin yang soleh dan bertaqwa bukanlah semata-mata orang miskin, kerana kemiskinan semata-mata kadang-kadang merupakan satu bala yang boleh membawa seseorang kepada kekufuran dan kejahatan. Apabila tekanan kemiskinan itu tidak dapat disabari oleh seseorang ia mungkin menjadi manuisa yang berkecil hati dan bersikap membantah terhadap Allah dan ini bukan sahaja menjerumuskannya ke dalam kekufuran, malah mencetuskan dalam hatinya perasaan hasad dengki dan dendam kesumat terhadap manusia sekelilingnya yang lebih bernasib baik darinya, dan akibatnya ia mungkin terlibat dalam perlakuan - perlakuan jenayah dan kekejaman-kekejaman untuk meluahkan dendam. Inilah maksud sabda Rasulullah s.a.w.
" Kemiskinan itu hampir-hampir membawa seseorang itu kepada kekufuran " Kerana itu, pada hemat kami, tidaklah wajar jika ada pihak-pihak yang tertentu mahu menjadikan hadis ( 29 ) ini sebagai alasan bahawa Islam menggalakan umatnya supaya menjadi miskin atau memandang kemiskinan itu sebagai satu kelebihan yang melayakan seseorang itu mewarisi syurga di Akhirat. Al- Quran dengan tegasnya menetapkan bahawa syurga itu adalah dicapai dengan taqwa dan amalan-amalan yang soleh bukannya dicapai dengan semata kemiskinan firman Allah Taala.
Itulah syurga kami wariskan kepada orang-orang yang bertaqwa, tidak ada pengkhususan kepada bidang apa kerjaya apa. Sedarlah kehidupan seseorang muslim yang digariskan Allah adalah penuh dengan kegiatan - kegiatan amalan ibadat dan kebajikan yang memerlukan kepada kewangan yang banyak seperti zakat, ibadat haji, berjihad menegakkan agama Allah, menolong fakir miskin, kaum kerabat, jiran tetangga menyediakan mas kahwin, menanggung nafkah isteri dan anak pinak, mengadakan kenduri akikah, berkorban di hari raya, berderma untuk sabilillah dan sebagainya dari ibadat-ibadat kebajikan yang bertunjangkan kepada kewangan. Di dalam al-Quran dan As- Sunah penuh denga anjuran-anjuran agar setiap orang muslim yang berada supaya menginfaq atau membelanjakan harta mereka ke jalan kebajikan dan itulah perlaburan hakiki untuk masa depan hari akhirat dan itulah keuntungan abadi yang disediakan Allah. Firman Allah
" Orang-orang yang menyimpan emas dan perak, sedangkan mereka tidak membelanjakannya ke jalan Allah, maka sampaikan berita kepada mereka bahawa mereka akan mendapat keseksaan yang pedih ." At-Taubat ( 34 )
" Dan belanjakan harta bendamu pada jalan Allah dan janganlah kamu campakkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, berbuatlah kebaikan kerana Allah amat menyayangi orang-orang yang berbuat kebaikan." Al-Baqarah ( 195 )
" Sesungguhnya orang-orang mukmin yang sebenarnya orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul - Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa raga mereka ke jalan Allah, merekalah orang-orang yang benar-benar beriman." Al- Hujurat ( 15 ). Bertolak dari hakikat ini ternyatalah bahawa "orang- orang yang miskin ," yang terutama yang dimaksudkan oleh hadis itu ialah orang-orang yang menjadi miskin sebagai akibat dari penglibatan mereka di dalam kegiatan-kegiatan infaq dan jihad fisabilillah, membantu sekolah contohnya, bukannya semata - mata orang miskin, apatah lagi mereka yang miskin akibat malas dan kurang berusaha.
Kerana itu Ibn Battal dalam kitab " al- Fath " dengan tegas menyarankan bahawa kemasukan ramai orang-orang miskin ke dalam syurga itu bukanlah kerana kemiskinannya, malah kerana kesolehan di samping kemiskinan, sebab orang yang miskin yang tidak soleh itu tidak mempunyai apa-apa kelebihan sementara al- Alamah al- Syeikh Mansyur Ali Nasar berkata dalam kitabnya " at- Taaj". Kelebihan orang-orang miskin ( yang banyak masuk syurga ) itu bukanlah kerana kemiskinan, malah kerana kesabaran, taqwa dan amalan-amalan mereka yang soleh yang biasanya menyebabkan mereka menjadi miskin.
Ini menunjukkan bahawa kemiskinan dimaksudkan ditatas adalah daripada mereka yang mempunyai kekayaan, ataupun dalam situasia hari ini kerjaya yang baik, namun akhirnya sifat menginfa’kan harta mereka kejalan Allah menyebabkan mereka miskin. Bukanlah semata-mata miskin pada asasnya.
Oleh itu jika terdapat hadis-hadis yang lain yang pada lahirnya seolah-olah memuji atau memandang tinggi kepada kemiskinan, haruslah diruju'kan kepada hakikat kemiskinan yang terpuji yang telah dijelaskan tadi. Jika tidak, maka hadis-hadis itu akan bertentangan dengan hadis - hadis dan ayat-ayat al-Qur'an yang terang menyarankan kelebihan kekayaan dan kelebihan infaq fisabilillah. Mengapa orang-orang kaya begitu ramai memasuki neraka? Jawabnya kerana kebanyakan mereka telah menyalahgunakan kekayaan itu di dalam kegiatan-kegiatan maksiat yang dilaknat Allah dan kerana mereka telah ditimpa oleh penyakit-penyakit kekayaan iaitu tamak dan haloba, penting diri, bakhil, takbur, lupa daratan, menindas kaum miskin, tidak memperdulikan halal haram dan meninggalkan infaq fisabilillah.
Tegasnya orang-orang kaya yang ramai memasuki neraka bukanlah kerana kekayaan, malah kerana penyelewengan dan kefasiqan hidup mereka yang dapat dilihat dimana-mana masyarakat merekalah saudagar-saudagar yang memperniagakan segala macam maksiat, merekalah perintis-perintis hiburan, permainan dan pertunjukkan yang haram dan merekalah pendorong dan penggalak di belakang kefasiqan-kefasiqan masyarakat. Mereka menggunakan harta mereka untuk merosak dan membeli dhamir orang-orang yang baik untuk meluluskan maksud-maksud mereka yang jahat, malah mereka menggunakan pengaruh harta mereka untuk memaksa kerajaan untuk melindungi kepentingan-kepentingan mereka. Kerana tindak-tanduk mereka yang tidak jujur itulah menyebabkan perjalanan mereka ke syurga di halangi