Thursday, June 25, 2009

Jangan salah kocek tebal


Ada orang kata tak nak jadi kaya, sebab ada terdengar hadis sebegini “Kebanyakan Penghuni Syurga Dan Penghuni Neraka "Aku telah meninjau syurga dan aku dapati kebanyakan penghuninya ialah kaum miskin, dan aku juga meninjau neraka dan aku dapati kebanyakannya penghuninya ialah kaum wanita ." Diriwayatkan oleh al-Bukhari.
Jika hadis ini ditilik dari permukaannya yang lahir sahaja tentulah timbul kemusykilan- kemusykilan tertentu apakah Islam memandang kemiskinan itu sebagai satu kelebihan dan kekayaan sebagai satu penghalang yang boleh menjauhkan seseorang itu dari syurga ? Apakah istilah memandang rendah kepada kaum wanita hingga kebanyakkan mereka menjadi penghuni neraka ? Apakah kaum wanita lebih banyak melakukan maksiat dari kaum lelaki ?
Untuk memahami maksud yang sebenar dari hadis ini perlulah dirujukkan kepada nas-nas lain yang bersangkutan dengan pandangan umum Islam terhadap kekayaan dan kemiskinan, juga pandangan umum Islam terhadap kaum lelaki dan kaum wanita. Menurut Islam merupakan nikmat dan rahmat yang dikurniai Allah kepada manusia, kerana itulah memohon " rezeki yang luas " merupakan isi utama doa-doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya termasuk doa " " yang dibaca berkali-kali setiap rakaat sembahyang, tetapi kekayaan itu sendiri bukanlah merupakan satu kelebihan kecuali ia dibelanjakan kepada jalan Allah, sedangkan kemiskinan ataupun kocek nipis juga bukan kelebihan tetapi merupakan cabaran dan ujian terhadap ketabahan dan kesabaran seseorang mukmin, kerana itu kemiskinan itu sendiri bukan sekali-kali merupakan kelebihan yang secara automatis melayakan seseorang mukmin untuk menduduki syurga, malah pastilah digandingkan dengan sikap sabar, takwa dan amalan-amalan yang soleh.
Orang ada mengatakan biarlah kocek kosong asalkan amalan kita ikhlas didepan Allah kerana itu lebih mulia dan baik. Bagaimana pula dalam pentas yang sama kita membandingkan orang yang “berada” tetapi amalan juga ikhlas dan sabar. Manakah yang lebih baik.????????
Bertolak dari pengertian ini ternyata bahawa yang dimaksudkan dengan "orang-orang yang miskin "yang disebut oleh Rasulullah s.a.w itu ialah orang-orang miskin yang soleh dan bertaqwa bukanlah semata-mata orang miskin, kerana kemiskinan semata-mata kadang-kadang merupakan satu bala yang boleh membawa seseorang kepada kekufuran dan kejahatan. Apabila tekanan kemiskinan itu tidak dapat disabari oleh seseorang ia mungkin menjadi manuisa yang berkecil hati dan bersikap membantah terhadap Allah dan ini bukan sahaja menjerumuskannya ke dalam kekufuran, malah mencetuskan dalam hatinya perasaan hasad dengki dan dendam kesumat terhadap manusia sekelilingnya yang lebih bernasib baik darinya, dan akibatnya ia mungkin terlibat dalam perlakuan - perlakuan jenayah dan kekejaman-kekejaman untuk meluahkan dendam. Inilah maksud sabda Rasulullah s.a.w.
" Kemiskinan itu hampir-hampir membawa seseorang itu kepada kekufuran " Kerana itu, pada hemat kami, tidaklah wajar jika ada pihak-pihak yang tertentu mahu menjadikan hadis ( 29 ) ini sebagai alasan bahawa Islam menggalakan umatnya supaya menjadi miskin atau memandang kemiskinan itu sebagai satu kelebihan yang melayakan seseorang itu mewarisi syurga di Akhirat. Al- Quran dengan tegasnya menetapkan bahawa syurga itu adalah dicapai dengan taqwa dan amalan-amalan yang soleh bukannya dicapai dengan semata kemiskinan firman Allah Taala.
Itulah syurga kami wariskan kepada orang-orang yang bertaqwa, tidak ada pengkhususan kepada bidang apa kerjaya apa. Sedarlah kehidupan seseorang muslim yang digariskan Allah adalah penuh dengan kegiatan - kegiatan amalan ibadat dan kebajikan yang memerlukan kepada kewangan yang banyak seperti zakat, ibadat haji, berjihad menegakkan agama Allah, menolong fakir miskin, kaum kerabat, jiran tetangga menyediakan mas kahwin, menanggung nafkah isteri dan anak pinak, mengadakan kenduri akikah, berkorban di hari raya, berderma untuk sabilillah dan sebagainya dari ibadat-ibadat kebajikan yang bertunjangkan kepada kewangan. Di dalam al-Quran dan As- Sunah penuh denga anjuran-anjuran agar setiap orang muslim yang berada supaya menginfaq atau membelanjakan harta mereka ke jalan kebajikan dan itulah perlaburan hakiki untuk masa depan hari akhirat dan itulah keuntungan abadi yang disediakan Allah. Firman Allah
" Orang-orang yang menyimpan emas dan perak, sedangkan mereka tidak membelanjakannya ke jalan Allah, maka sampaikan berita kepada mereka bahawa mereka akan mendapat keseksaan yang pedih ." At-Taubat ( 34 )
" Dan belanjakan harta bendamu pada jalan Allah dan janganlah kamu campakkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, berbuatlah kebaikan kerana Allah amat menyayangi orang-orang yang berbuat kebaikan." Al-Baqarah ( 195 )
" Sesungguhnya orang-orang mukmin yang sebenarnya orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul - Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa raga mereka ke jalan Allah, merekalah orang-orang yang benar-benar beriman." Al- Hujurat ( 15 ). Bertolak dari hakikat ini ternyatalah bahawa "orang- orang yang miskin ," yang terutama yang dimaksudkan oleh hadis itu ialah orang-orang yang menjadi miskin sebagai akibat dari penglibatan mereka di dalam kegiatan-kegiatan infaq dan jihad fisabilillah, membantu sekolah contohnya, bukannya semata - mata orang miskin, apatah lagi mereka yang miskin akibat malas dan kurang berusaha.
Kerana itu Ibn Battal dalam kitab " al- Fath " dengan tegas menyarankan bahawa kemasukan ramai orang-orang miskin ke dalam syurga itu bukanlah kerana kemiskinannya, malah kerana kesolehan di samping kemiskinan, sebab orang yang miskin yang tidak soleh itu tidak mempunyai apa-apa kelebihan sementara al- Alamah al- Syeikh Mansyur Ali Nasar berkata dalam kitabnya " at- Taaj". Kelebihan orang-orang miskin ( yang banyak masuk syurga ) itu bukanlah kerana kemiskinan, malah kerana kesabaran, taqwa dan amalan-amalan mereka yang soleh yang biasanya menyebabkan mereka menjadi miskin.
Ini menunjukkan bahawa kemiskinan dimaksudkan ditatas adalah daripada mereka yang mempunyai kekayaan, ataupun dalam situasia hari ini kerjaya yang baik, namun akhirnya sifat menginfa’kan harta mereka kejalan Allah menyebabkan mereka miskin. Bukanlah semata-mata miskin pada asasnya.
Oleh itu jika terdapat hadis-hadis yang lain yang pada lahirnya seolah-olah memuji atau memandang tinggi kepada kemiskinan, haruslah diruju'kan kepada hakikat kemiskinan yang terpuji yang telah dijelaskan tadi. Jika tidak, maka hadis-hadis itu akan bertentangan dengan hadis - hadis dan ayat-ayat al-Qur'an yang terang menyarankan kelebihan kekayaan dan kelebihan infaq fisabilillah. Mengapa orang-orang kaya begitu ramai memasuki neraka? Jawabnya kerana kebanyakan mereka telah menyalahgunakan kekayaan itu di dalam kegiatan-kegiatan maksiat yang dilaknat Allah dan kerana mereka telah ditimpa oleh penyakit-penyakit kekayaan iaitu tamak dan haloba, penting diri, bakhil, takbur, lupa daratan, menindas kaum miskin, tidak memperdulikan halal haram dan meninggalkan infaq fisabilillah.
Tegasnya orang-orang kaya yang ramai memasuki neraka bukanlah kerana kekayaan, malah kerana penyelewengan dan kefasiqan hidup mereka yang dapat dilihat dimana-mana masyarakat merekalah saudagar-saudagar yang memperniagakan segala macam maksiat, merekalah perintis-perintis hiburan, permainan dan pertunjukkan yang haram dan merekalah pendorong dan penggalak di belakang kefasiqan-kefasiqan masyarakat. Mereka menggunakan harta mereka untuk merosak dan membeli dhamir orang-orang yang baik untuk meluluskan maksud-maksud mereka yang jahat, malah mereka menggunakan pengaruh harta mereka untuk memaksa kerajaan untuk melindungi kepentingan-kepentingan mereka. Kerana tindak-tanduk mereka yang tidak jujur itulah menyebabkan perjalanan mereka ke syurga di halangi

No comments:

Post a Comment