Thursday, June 25, 2009


PRINSIP MEMBINA PERSAHABATAN YANG BAIK.
Menjadi seorang sahabat bukanlah sesuatu yang datang secara tiba-tiba. Ia merupakan suatu kemahiran yang boleh dipelajari dan diperbaiki. Berikut adalah lapan cara bagaimana menjadi seorang sahabat yang baik.

Pertama: Sayangkan Diri Sendiri
Langkah pertama dalam menjalinkan persahabatan ialah dengan mempunyai perhubungan yang baik dengan diri anda sendiri. Apabila kita benar-benar sukakan diri kita sendiri, kita kelihatan lebih menarik di mata orang lain. Kita juga mempunyai lebih banyak perkara yang boleh ditawarkan kepada orang lain kerana kita tidak hanya menumpukan kepada imej dan reputasi diri sendiri.
Kita menjadi sahabat yang baik kerana kita tidak bergantung kepada orang lain. Kita mempunyai keyakinan yang cukup untuk meluangkan masa bersama kawan-kawan kerana kita mahu berbuat demikian, bukannya kerana kita perlu melakukannya.
Relaks – perjalanan kita dalam memahami diri sendiri masih panjang. Praktikkannya sedikit demi sedikit dalam kehidupan seharian kita.


Kedua: Pilih Dengan Bijak
Perhubungan di antara teman-teman karib memerlukan anda meluangkan banyak masa dan tenaga, iaitu dua sumber yang terhad bagi kebanyakan kita. Kenalpasti rakan-rakan yang mana anda mahu menjalinkan perhubungan yang intim. Tidak mengapa jika tidak semua rakan termasuk dalam senarai sahabat karib. Keakraban persahabatan adalah lebih penting daripada jumlah sahabat yang ada.

Ketiga: Luangkan Masa
Sahabat adalah penting dalam banyak perkara, hinggakan kadang-kala hubungan persahabatan itu seakan-akan mempunyai nyawanya sendiri. Anda bertanggungjawab terhadap diri anda (dan juga terhadap rakan-rakan anda) untuk menghidupkan perhubungan ini. Carilah masa yang berkualiti untuk diluangkan bersama.

Keempat: Ambil Langkah Pertama
Inilah masalah saya, dan saya tahu bukan saya seorang menghadapi masalah ini. Jika anda mahu memperbaiki perhubungan anda, ketepikan perasaan bimbang dan takut pada penolakan dan mula mengambil risiko. Jemput rakan-rakan anda makan tengahari. Anjurkan satu permainan secara berkumpulan. Jemput mereka makan malam di rumah anda.
Seringkali, kita gagal membuat susulan dengan kawan-kawan. Jangan biarkan diri anda ketinggalan – telefon mereka. Rakan-rakan anda tentu gembira berjumpa dengan anda.

Kelima: Peraturan Penting
Perlakukan sahabat-sahabat anda sebagaimana anda mahu diperlakukan. Dengan kata lain: “Untuk mempunyai sahabat, jadilah seorang sahabat.”
Beri lebih tumpuan kepada apa yang menarik, bukannya menjadi menarik. Jadilah seorang yang bersemangat dan bertenaga. Jauhkan dari mengadu-domba, mengumpat dan mengkritik.

Keenam: Ambil Perhatian Terhadap Perkara-Perkara Kecil
Buat rakan-rakan anda rasa diri mereka penting dengan mengingati perkara-perkara kecil. Tegurlah potongan rambut barunya. Tanya mengenai pembedahan ibu mertuanya. Hantar jambangan bunga atau e-mel ringkas apabila dia memerlukannya. Dan komen lah sikit-siki dalam blognyer.......

Ketujuh: Dengar
Pendengar yang baik sukar dicari; oleh itu perbaikilah kemahiran mendengar anda. Berikut adalah beberapa panduan:
Sabar. Jangan cuba menghabiskan ayat rakan anda. Jika anda dapati anda sedang memikirkan suatu respon semasa rakan anda sedang bercakap, beri peringatan kepada diri anda supaya menumpukan perhatian kepada rakan yang sedang bercakap.
Tunjukkan kepadanya bahawa anda sedang mendengar. Pandang matanya semasa dia bercakap. Anggukkan kepala dan beri respon kecil untuk menandakan bahawa anda faham apa yang dia maksudkan.
Kurangkan gangguan.
Tanya soalan.
Berhati-hati memberi nasihat. Andaikan bahawa rakan anda hanya mahu meluahkan perasaannya, dan bukan meminta pendapat anda. Elakkan berkata, “apa yang perlu awak buat…” Beri pendapat hanya jika diminta (dan hanya jika anda percaya pendapat anda dapat membantunya).

Kelapan: Setia
Setiap orang dari kita memerlukan seseorang uantuk berada di pihak kita. Jika seseorang mengumpat atau mengkritik rakan anda di belakangnya, pertahankan dia. Dia tentu akan membuat perkara yang sama jika ia berlaku kepada anda.


No comments:

Post a Comment